Assalamualaikum Wbt.... Alhamdulillah kali ini ana nak share kepada pembaca mengenai Rahsia Bukit Dan Gunung...
Mungkin kita tidak sedar, penciptaan bukit-bukau dan gunung-ganang sebenarnya sangat signifikan dalam Islam. Perkataan gunung disebut 49 kali dalam al-Quran.
Ternyata ia cukup untuk menggambarkan betapa gunung dan bukit mempunyai kedudukan tersendiri dalam senarai penciptaan makhluk Allah.
Pembahasan gunung atau bukit di dalam al-Quran merangkumi pelbagai perkara seperti menggambarkan kata-kata kiasan daripada Allah, tempat berlakunya mukjizat rasul, tempat berlindung manusia dan haiwan, keagungan penciptaan gunung dan bukit, fakta sains mengenai gunung hinggalah keadaan gunung apabila tiba hari kiamat.
Sebagai contoh fakta sains, disebutkan dalam surah An-Nahl ayat 15, bermaksud: “Dan Dia (Allah) menciptakan di Bumi gunung-ganang yang tetap kedudukannya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu...” Ayat ini menjelaskan, gunung-ganang adalah paksi bumi, tanpa gunung-ganang akan mengakibatkan berlakunya gempa bumi, banjir dan seterusnya mengundang kecelakaan lebih dahsyat.
Dalam menceritakan perihal keadaan gunung-ganang sewaktu hari kiamat, Allah memberi gambaran melalui surah Al-Qari’ah, ayat 4 dan 5, bermaksud: “Hari itu ialah hari kiamat. Hari di mana manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran. Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang berterbangan.” Tidak kurang juga kisah di sebalik setiap gunung atau bukit yang menyimpan sejarah tersendiri, terutama gunung dan bukit di sekitar kota Makkah dan Madinah.
Mereka yang pernah menjadi tetamu Allah di tanah suci pasti tidak asing dengan kisah di sebalik gunung dan bukit ini. Misalnya Jabal Qubais terletak berhampiran Masjidil Haram di Makkah.
Diriwayatkan bahawa batu yang digunakan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail untuk membina Kaabah diambil dari bukit ini.
Bukit ini menjadi tempat Nabi Ibrahim menyeru umatnya dengan seruan “Labbaikallahumma labbaik...” Pada waktu ini ia digunakan sebagai seruan menunaikan haji selepas baginda selesai membina Kaabah.
Bukit Safa dan Marwah juga tidak asing untuk umat Islam kerana di sinilah tempat melakukan saie bagi mereka yang menunaikan haji atau umrah.
Sewaktu Nabi Ismail dan ibunya, Siti Hajar ketandusan bekalan air di padang pasir gersang, Siti Hajar berulang alik di antara dua bukit ini untuk mencari air. Ada riwayat mengatakan Siti Hajar berulang alik tujuh kali.
Nabi Ismail yang kehausan ketika itu meronta-ronta dan menangis hinggalah terbit mata air Zam-Zam yang memancar daripada gesekan dan hentakan tapak kaki Nabi Ismail. Peristiwa ini dirakamkan Allah sebagai ibadah bagi mereka yang mengerjakan haji dan Umrah.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 158, bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian syiar (lambang) agama Allah; sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang alik) di antara keduanya...” Saya juga berkesempatan mendaki Jabal Nur di Makkah. Di Jabal Nur terletaknya Gua Hira’, tempat turunnya wahyu pertama dalam sejarah mukjizat Agung Rasulullah SAW untuk umat Islam iaitu al-Quran.
Al-Imam Auza’ie meriwayatkan daripada Hasan bin Athiyyah bahawa Adam dan Hawa menangis ketika turun di bumi selama 60 tahun kerana menyesali pelbagai kenikmatan di syurga yang tidak didapati lagi oleh kedua-duanya di bumi.
Kedua-duanya menangis menyesali dosa dilakukan. Hal ini dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah Wa Al-Nihayah karangan Ibnu Katsir.
Kemudian, dikatakan oleh sebahagian ulama Jabal Rahmah adalah tempat pertemuan semula Adam dan Hawa setelah sekian lama terpisah selepas diturunkan ke bumi dari syurga akibat memakan buah larangan.
Manakala Jabal Uhud yang terkenal dengan sejarah Perang Uhud antara kaum Muslimin dan kaum Kafir Quraisy.
Walaupun mencapai kemenangan, Perang Uhud menyaksikan ramai tentera Muslimin mati syahid, termasuk Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi Muhammad SAW.
Selain menyimpan kisah rasul, bukit dan gunung juga menjadi perantara Allah menyampaikan peringatan kepada manusia. Masih ingat lagi letusan gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland? Gunung berapi ini menghamburkan debu setinggi lebih 11 kilometer ke udara, membunuh ribuan binatang dan tumbuh-tumbuhan serta menjejaskan ekonomi dunia, terutama di Eropah.
Begitu hebat penciptaan Allah ke atas setiap makhluk di muka bumi. Setiap ciptaan ada rahsia tersendiri yang kadangkala tidak dapat diduga akal manusia. Begitu juga penciptaan gunung-ganang dan bukit-bukau.
Sekian Sahaja....Wallahu'alam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan